KOTA MARUDU, 20 JUN – Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa mengetuai lawatan kerja delegasi syarikat itu ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kampung Gana bagi meninjau pengurusan dan pembangunan ladang nanas MD2 yang diusahakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Maming Staming dan Datuk Zakaria Mohd. Edris bersama barisan pengurusan kanan syarikat manakala rombongan disambut oleh Pengurus Besar LIGS, Ts. Sabdil Tanjung.
Lawatan itu memberi pendedahan mengenai amalan pengurusan ladang, penggunaan teknologi moden, tahap produktiviti tanaman serta potensi ekonomi industri nanas MD2 yang semakin berkembang di negeri ini.
Selain memperkukuh kerjasama antara kedua-dua organisasi, hasil lawatan berkenaan akan dijadikan rujukan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dalam menilai peluang diversifikasi perniagaan menerusi pembangunan industri nanas sebagai sektor agribisnes yang berpotensi dan mampan.
Kumpulan Sawit Kinabalu turut menegaskan komitmennya untuk terus meneroka peluang strategik yang mampu meningkatkan daya saing syarikat serta menyokong pembangunan sektor pertanian dan agromakanan Sabah.
