MARITIM KUDAT TAHAN BOT KARGO, RAMPAS BARANGAN KAWALAN BERNILAI RM150,000

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 4 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo yang disyaki membawa petrol, barangan kawalan berjadual serta baja amonium nitrat tanpa kebenaran polis dalam operasi penguatkuasaan di perairan Dogoton, Pulau Banggi, hari ini.

Bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton hasil maklumat risikan yang diperoleh Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat.

Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat individu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan tiga warga Filipina, berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Kesemua individu bersama bot kargo dan barangan yang dianggarkan bernilai RM150,000 ditahan untuk tindakan lanjut sebelum diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat bagi pemeriksaan dan siasatan.

Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan itu hasil risikan serta kecekapan anggota operasi dalam mengesan dan mengekang aktiviti mencurigakan di perairan Pulau Banggi.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858.

Share This Article