Sekolah perlu jadi hab inovasi tempatan — YB Timbalan Menteri MOSTI

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 25 Okt — Sekolah bukan sekadar pusat pembelajaran sebaliknya perlu menjadi hab inovasi tempatan yang menyuburkan budaya fikir kreatif dan saintifik.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal berkata,
dunia kini berada di ambang Revolusi Industri 5.0, menuntut transformasi mendalam dalam bidang pendidikan, teknologi dan kemahiran.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis STEM & LEAD: “Meneroka Inovasi, Memacu Kepimpinan Sekolah” 2025 yang berlangsung di Dewan SJKC Yuk Choi, Lahad Datu hari ini.

Justeru pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas bagi membentuk generasi masa depan yang berdaya fikir dan berinovasi.

“Kejayaan masa depan tidak hanya bergantung kepada keupayaan menggunakan teknologi tetapi kepada keupayaan berfikir secara kritikal, mencipta secara kreatif dan berinovasi tanpa batas,” katanya.

Beliau menambah MOSTI komited menyokong pelaksanaan program pendidikan STEM di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif di bawah Minggu Sains Negara (MSN) seperti STEM Camp MOSTI, Malaysia Techlympic, Kembara Sains Borneo (KSB) dan Sekolah Angkat MADANI MOSTI.

“Kejayaan program seperti ini memerlukan kolaborasi erat antara sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), universiti, industri dan masyarakat.

Program seperti STEM & LEAD wajar diteruskan bukan sekadar acara tahunan tetapi sebagai gerakan berterusan yang mampu diukur dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu atas penganjuran program berimpak tinggi itu yang berjaya menyatukan guru, pelajar dan komuniti pendidikan setempat.

“Lahad Datu bukan sahaja kaya dengan sumber alam tetapi juga dengan sumber modal insan yang kreatif dan inovatif.

Kekuatan masa depan negara bukan hanya pada teknologi yang dimiliki tetapi pada manusia yang berani berfikir, mencuba dan berinovasi,” katanya.

Majlis yang turut menampilkan pameran inovasi pelajar pembentangan jurnal pendidikan serta projek berimpak tinggi oleh guru dan pelajar itu bertujuan memperkukuh budaya ilmu serta kepimpinan sekolah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk melahirkan generasi saintifik dan berdaya saing.

TAMAT

Share This Article