SANDAKAN,16 Oktober – Dua orang murid SJK (C) Chi Hwa, Sandakan, iaitu Adam Ismael bin Norsham (Tahun 3C) dan Nur Aisyah binti Norsham (Tahun 6A) telah terpilih untuk mewakili Sandakan ke Kejohanan Karate Sekolah Rendah Negeri Sabah Kali Ke-27 yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober di Tambunan.
Kedua-dua murid tersebut telah mewakili sekolah dalam Kejohanan Karate Sekolah Rendah dan Menengah Daerah Sandakan Kali Ke-32 pada bulan Julai lalu.
Hasil daripada prestasi yang membanggakan mereka telah terpilih untuk mewakili Sandakan ke peringkat negeri.
Sebagai tanda sokongan dan galakan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Encik Chan Tzun Hei telah menyampaikan angpau kepada kedua-dua murid tersebut bagi menghargai usaha mereka serta menyuntik semangat untuk menghadapi pertandingan yang akan datang.
Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Leong Kok Hing turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Guru Penasihat Kelab Karate Sekolah, Cikgu Chin Pui Men, atas pengurusan dan persiapan yang teliti bagi penyertaan murid.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas kerjasama yang diberikan serta jurulatih atas bimbingan dan komitmen mereka dalam melatih murid.
Turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum, Cikgu Kong Ming Na.
Pihak sekolah mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua murid dan berharap agar mereka dapat menunjukkan prestasi terbaik, menimba pengalaman berharga serta mengharumkan nama sekolah dan Sandakan di peringkat negeri.
