KOTA KINABALU, 21 JANUARI 2026-Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) perlu melaksanakan amanah dengan beretika dan bertanggungjawab kerana mereka menjadi wajah Kerajaan Negeri di peringkat komuniti.
Menurut beliau PPM yang ditempatkan di kawasan pembangkang berdepan cabaran lebih besar dalam membina keyakinan rakyat terhadap pentadbiran KERAJAAN sekali gus memerlukan komitmen tinggi serta ketelusan dalam menjalankan tugas.
“Mereka berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat. Keutamaan harus diberikan kepada kepentingan rakyat, bukan agenda peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah fasa kedua PPM di Menara Kinabalu, di sini.
Seramai 35 PPM terlibat dalam majlis berkenaan, menjadikan keseluruhan 80 PPM mengangkat sumpah jawatan selepas fasa pertama pada 13 Januari lalu.
Hajiji turut mengingatkan PPM supaya tidak menyalahgunakan kedudukan serta sentiasa memelihara imej kerajaan selain memastikan maklumat berkaitan dasar dan pencapaian kerajaan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Majlis itu turut disaksikan oleh barisan menteri kabinet negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
TAMAT
