Hasrat sudah dimaklumkan tetapi surat rasmi masih belum diterima.

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU –Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya belum menerima surat rasmimengenai keputusan Datuk Ewon Benedick meketakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Anwar menyifatkan keputusan Ewon Benedick dibuat terlalu awal memandangkan rundingan rasmi berhubung pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah masih dalam proses dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Dia ada sampaikan maklumat, surat rasmi itu belum walaupun sudah ada teks dia (Ewon)… Saya fikir ia terlalu awal untuk dia buat keputusan tapi saya mungkin faham bagaimana dia rasa terdesak dengan keadaan ini yang mereka suarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Jelajah Malaysia Digital (JMD) Sabah di Taman Semarak, pada Isnin.

Mengikut prosedur biasa, kata Anwar, sebarang penghakiman di peringkat Mahkamah Tinggi yang mempunyai kelompongan atau kelemahan perlu melalui proses rayuan.

“Secara peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu dan itu sudah saya jelaskan,” katanya.

Katanya, sebagai pemimpin, tindakan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau dalam keadaan panik sebaliknya perlu berlandaskan perlembagaan serta memahami keresahan rakyat Sabah.

“Prosesnya mesti dilalui dan penghakiman baru diterima tiga hari yang lalu. Kita dapati ada kekuatan dan ada kelemahan termasuk yang saya sebut tadi.

“Jadi, baca dulu, dengar Peguam Negara dan kemudian buat keputusan.

“Itu sebabnya saya kata kempen-kempen ini mesti berdasarkan fakta. Kalau kempen-kempen berdasarkan sentimen bagi marah jadi kita tersepit,” ujarnya.

Pada Sabtu, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan peletakan jawatannya melalui kenyataan di Facebook,susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes Semakan Kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah.

Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan tidak dapat bersetuju dengan pandangan dan pendirian AGC seperti yang termaktub dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid yang disifatkannya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat penyertaan Sabah berdasarkan dokumen asas perlembagaan.

TAMAT

Share This Article