MUTIARA GRS SANTUNI EMPAT INSTITUSI KEBAJIKAN DI SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN,14 Oktober – Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah MUTIARA GRS meneruskan komitmen membantu golongan memerlukan menerusi Program Ziarah Amal dengan menyantuni empat institusi kebajikan di Sandakan pada Rabu.

Antara institusi yang menerima kunjungan dan sumbangan ialah Pusat Latihan Orang Buta di Batu 12, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya di Batu 1½, Pusat Anak Yatim Al-Yakin di Batu 1½ serta Rumah Warga Tua Sri Harapan, Sandakan.

Selain itu, sumbangan turut disalurkan kepada wakil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Indah Jaya, Sandakan dan PPDK Beluran.

Program anjuran Biro Kebajikan dan Biro Lawatan Mutiara GRS itu diketuai Yang Dipertuanya, Datin Seri Datuk Juliah Salag yang juga isteri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Datuk Anna Bell Perian; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa isteri beliau, Datin Merdiline Albaris; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson; serta isteri beliau, Datin Ivy Wong

Pada sidang media, Juliah berkata, kunjungan ke Sandakan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MUTIARA GRS menyalurkan sumbangan kepada institusi kebajikan di beberapa daerah di negeri Sabah.

Sebelum ini, pihaknya juga telah memberikan sumbangan di daerah lain dan kini di Sandakan.

Sumbangan itu juga di harap dapat membantu mereka yang memerlukan, dan menghargai golongan berkenaan.

Ini termasuk mendekati institusi kebajikan serta menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak berkeperluan khas, anak yatim dan warga emas melalui inisiatif bantuan kemasyarakatan.

Juliah turut berharap inisiatif seumpama itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak khususnya individu yang berkemampuan untuk turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Meskipun sumbangan yang diberikan tidak banyak sekurang-kurangnya kita dapat membantu, tambah beliau.

Share This Article