Oleh: Aleeya Badhiresiah
SANDAKAN, 6 Okt – Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur segelintir pemimpin yang gemar memainkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setiap kali musim pilihan raya, namun gagal menunaikan janji kepada rakyat selepas menang.
Menurut beliau, rakyat kini sudah bosan dengan retorik politik berkaitan MA63 yang sering dijadikan modal kempen tetapi hilang sebaik pilihan raya berakhir.
“Rakyat sudah jemu dengan retorik politik MA63. Selepas pilihan raya, isu itu lenyap. Ada yang hanya mengejar aspirasi sendiri bukan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama pemimpin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong anjuran GRS-USNO di sini, malam tadi.
Pandikar turut mengingatkan bahawa kekuatan politik Sabah hanya dapat dicapai melalui penyatuan parti-parti tempatan namun pada masa sama perlu realistik terhadap struktur kuasa persekutuan.
“Kalau semua 73 kerusi DUN dimenangi parti tempatan sekalipun Perdana Menteri tetap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau juga Menteri Kewangan.
” Jadi kita masih perlukan hubungan baik dengan kerajaan pusat,” ujarnya.
Beliau berkata, USNO mengambil pendekatan sederhana dengan menumpukan kepada agenda memperkukuh perpaduan politik tempatan serta memperjuangkan hak negeri melalui saluran yang konstruktif dan berhemah.
Sebagai makluman, isu MA63 merujuk kepada perjanjian yang menjadi asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 melibatkan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. Perjanjian itu menjamin beberapa hak dan autonomi negeri Sabah dan Sarawak yang masih menjadi topik perbahasan dalam politik semasa.
USNO yang kini bergabung di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat aktif memperkukuh pengaruhnya di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
TAMAT
