TIGA LELAKI WARGA ASING DIBERKAS DALAM OP TAPIS

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 19 Januari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu menumpaskan dua kes pengedaran dan pemilikan dadah jenis syabu menerusi Op Tapis, dengan penahanan tiga lelaki warga asing dalam operasi berasingan di sekitar daerah ini.

Dalam operasi berkenaan, polis merampas syabu seberat keseluruhan 58.76 gram bernilai kira-kira RM6,463.60, selain menyita sebuah kenderaan dan beberapa peralatan dipercayai berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Kes pertama melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun di Terminal Bas Wagon, Bandar Lahad Datu, bersama rampasan syabu seberat 6.19 gram. Suspek didapati positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes kedua, dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun ditahan di Jalan Segama dengan rampasan syabu seberat 52.57 gram.

Seorang daripada mereka turut didapati positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Operasi itu membuktikan komitmen berterusan IPD Lahad Datu di bawah pimpinan ACP Dzulbaharin Ismail dalam membanteras jenayah dadah di daerah berkenaan.

TAMAT

Share This Article