KOTA KINABALU, 13 Oktober – Persaraan bukan penghalang untuk terus berbakti apabila Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) terus memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kepakaran ahlinya bagi menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat.
Presidennya, Dr Aslie Haji Sahat, berkata PMPS bukan sekadar menjaga kebajikan mantan pendidik, malah berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan kepakaran menerusi bimbingan kepada pelajar, ibu bapa serta organisasi masyarakat.
Menurutnya, antara inisiatif kebajikan persatuan ialah mengadakan lawatan kepada ahli yang sakit serta menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 kepada keluarga ahli yang meninggal dunia.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi lapan anggota PMPS dalam kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, di pejabatnya di sini, hari ini.
Dr Aslie berkata, mantan pendidik turut berupaya membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi melalui perkongsian kepakaran dalam pengurusan mesyuarat, penulisan surat rasmi dan pengurusan fail.
Katanya, PMPS berhasrat memperluas sumbangan tersebut, khususnya kepada generasi muda, selain memainkan peranan sebagai duta kecil Sabah dalam mempromosikan imej positif negeri menerusi aktiviti kemasyarakatan.
