KOTA KINABALU, 15 Januari 2026 – Pagi ini, Datuk James Ratib, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, menghadiri Majlis Amanat Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), menegaskan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri, disokong oleh sains, teknologi dan inovasi.
Beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi kepentingan anak-anak Sabah, termasuk tindakan segera membantu Sekolah Kebangsaan Rampayan yang terjejas akibat banjir sebelum ini.
Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, kementerian komited menangani sekolah daif berskala 6 dan 7, memperluas pendigitalan sekolah melalui penyediaan 45,000 komputer riba, kemudahan Starlink, tenaga solar dan generator kepada 68 sekolah, serta smartboard di 1,500 sekolah di seluruh negeri.
Selain itu, fokus turut diberikan kepada peningkatan produktiviti, integriti dan tatakelola, pengiktirafan warga pendidik cemerlang, serta pengukuhan perjawatan termasuk JUSA C. Kementerian turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi meneruskan program MUET.
Datuk James Ratib turut menekankan kesiapsiagaan Sabah sebagai pemain teknologi dan inovasi, termasuk penerokaan kecerdasan buatan (AI), pengurusan data melalui Digital Authority Board, dan kerjasama dengan KESUMA, HRD Corp, JTK dan PERKESO. Beliau juga menyerahkan komitmen sebagai Exco MCMC untuk menyokong kelancaran Projek JENDELA Fasa 2 serta pembangunan infrastruktur komunikasi luar bandar.
“Sabah Maju Jaya bermula dengan pendidikan berkualiti,” tegas beliau.
TAMAT
