Penolong Jurutera Didakwa Salah Guna Jawatan, Libatkan Suapan Lebih RM218,000

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 8 Januari 2026 – Seorang Penolong Jurutera di Pejabat Daerah Kecil Kiulu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan melibatkan jumlah keseluruhan RM218,488.60.

Tertuduh, Aldey bin Kangit, 44, yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Gred JA29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Puan Elsie Primus .

Mengikut pertuduhan pertama, Aldey didakwa pada 22 Ogos 2023 telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bernilai RM75,998.10 bagi pihak saudaranya melalui perniagaan MTRR Enterprise milik sepupunya, Joy bin Tomihal.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 13 September 2023, melibatkan suapan berjumlah RM142,490.50, juga melalui perniagaan milik saudara terdekatnya itu.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Kecil Kiulu dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama .

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta dua penjamin tempatan. Selain itu, tertuduh turut diarahkan melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham bin Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz bin Mohd Lokman dari firma guaman AMBO & Co, Kota Kinabalu.

Mahkamah menetapkan 23 Februari 2026 sebagai tarikh pengurusan kes.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi .

TAMAT

Share This Article