SANDAKAN, 15 Januari 2026 – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama Polis Daerah Sandakan dan beberapa agensi penguatkuasaan lain melaksanakan Operasi Bersepadu Pengemis dan Gelandangan di sekitar pusat bandar Sandakan, hari ini.
Operasi yang melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Pendaftaran Negara itu berjaya menahan seramai 22 individu, terdiri daripada 13 orang dewasa dan sembilan kanak-kanak.
Daripada jumlah tersebut, sembilan individu bukan warganegara diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut, manakala selebihnya diambil tindakan susulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
MPS dalam kenyataannya memaklumkan, operasi itu merupakan usaha berterusan pihak berkuasa bagi membendung isu pengemis dan gelandangan, khususnya di kawasan pusat bandar, demi memastikan kesejahteraan masyarakat, keselamatan awam serta imej bandar terus terpelihara.
Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh dan berkesan melalui kerjasama antara agensi berkaitan.
TAMAT
