KUANTAN: PAS hari ini mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai daripada parti itu akan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketetapan tersebut diputuskan parti dan telah dimaklumkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pimpinan Perikatan Nasional (PN).
“Pendirian PAS ialah menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada presiden dan juga dalam mesyuarat PN,” katanya pada sidang media ringkas di pekarangan Wisma Sri Pahang, di sini, petang tadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau sudah menghubungi Adun Karambunai, Aliakbar serta Hajiji bagi menyampaikan keputusan rasmi parti.
Mengulas pertanyaan mengenai sama ada keputusan itu bercanggah dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Tuan Ibrahim menegaskan isu itu tidak timbul kerana Adun Karambunai adalah wakil PAS.
TAMAT
