PAPAR, 9 Ogos 2025 – Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar berjaya menyelamatkan seekor penyu yang ditemukan terdampar dalam keadaan lemah di pantai Kampung Santing, Pengalat Besar, di sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 7.44 malam sebelum tiga anggota dari BBP Papar digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Dahlan Zainuddin berkata, setibanya di lokasi, pasukan mendapati seekor penyu berada di tepi pantai dalam keadaan lemah dan diawasi oleh orang awam.
“Tindakan menyelamat dilakukan menggunakan kaedah mengangkat dengan kain sebelum penyu tersebut dilepaskan semula ke habitat asal di tepi pantai. Operasi turut dibantu oleh orang awam,” katanya.
Operasi tamat pada jam 8.45 malam dengan kekuatan tiga anggota dan sebuah jentera jenis Vigo.
TAMAT
