DAKWAAN 127.3 HEKTAR PULAU SEBATIK MILIK INDONESIA TIDAK BENAR

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,17 APRIL-Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menafikan dakwaan bahawa kawasan seluas 127. 3 hektar di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia.

Menurut beliau, kenyataan yang mendakwa kawasan tersebut kini milik Indonesia adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan kawasan berkenaan yang terletak dalam wilayah Malaysia secara rasmi adalah milik Indonesia.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan perkara itu tidak benar.

“”Itu tidak betul… siapa cakap diserahkan? Itu tidak betul.. Saya hadir tapi ini kita yang untung tetapi saya dengan Datuk Seri Panglima Anwar dan pak Probowo.. Kita tidak boleh buat kenyataan mewar-warkan.. Ini tidak ada. Kita yang banyak untung OK.. Itu saja yang boleh saya cakap..”katanya.

Beliau turut memaklumkan isu berkenaan pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Majlis Tertinggi PGRS,Datuk Haji Abdul Hakim Bin Gulam Hassan di dewan Perdana di sini pada khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru rakyat agar terus bijak memilih kerajaan yang mampu menjamin kestabilan serta kemajuan ekonomi negeri.

Tegasnya, sokongan padu terhadap kerajaan sedia ada penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.

Hajiji turut menzahirkan rasa syukur atas mandat rakyat yang memberikan kelebihan lebih dua pertiga kepada kerajaan di Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, kekuatan itu memudahkan kerajaan merancang pembangunan masa depan Sabah dengan lebih tersusun termasuk di Lahad Datu.

Mengulas cabaran media sosial, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terpedaya dengan fitnah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, perbuatan memfitnah adalah dosa besar dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Dalam pada itu kerajaan negeri turut mempertimbangkan projek pelebaran jalan di kawasan Tengah Nipah Tungku yang kini mengalami kesesakan selain pembinaan sekolah agama negeri di Lahad Datu.

Share This Article