KPA 2026:PENGHARGAAN BUAT MEDIA SABAH SEBAGAI RAKAN STRATEGIK PEMBANGUNAN NEGERI-HAJIJI

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 14 JUN – Kerajaan negeri menzahirkan sokongan berterusan terhadap industri media di Sabah melalui peningkatan peruntukan kewangan bagi penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA).

​Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata, sebagai bukti pengiktirafan tersebut sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA telah ditingkatkan kepada RM110,000 bermula tahun 2025 berbanding RM100,000 pada tahun sebelumnya.

​”Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan Wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk memacu kecemerlangan pengamal media di negeri ini.

​”Oleh itu kerajaan negeri akan terus memberi komitmen sebagai penaja utama untuk majlis ini pada tahun ini,” katanya sempena Majlis KPA 2026 di sini, pada sabtu.

​Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

​​Mengulas lanjut, Hajiji menyifatkan pengamal media di Sabah sebagai rakan kongsi strategik yang penting dalam menyebarkan dasar-dasar kerajaan serta kejayaan pembangunan negeri kepada seluruh rakyat.

​Jelas beliau peranan tersebut diterjemahkan dengan baik oleh pengamal media khususnya dalam melaporkan perkembangan berkaitan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

​Malah komitmen tinggi komuniti media turut terserlah ketika fasa penting politik negeri termasuk sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang lalu.

​”Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.

​”Sepanjang tempoh itu juga saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa… Syabas dan tahniah saya ucapkan,” ujar beliau.

​Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan warga media bahawa walaupun kepantasan menyampaikan maklumat menjadi keutamaan dalam era digital, aspek ketepatan dan kesahihan fakta sama sekali tidak boleh dikompromi.

​Beliau menyeru agar semua pengamal media di Sabah terus mempertahankan prinsip kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab, dan beretika.

​”Pengamal media perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika dan tidak mudah terpengaruh dengan lambakan maklumat palsu,” tegasnya lagi.

Share This Article