sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU (9 OGOS): Himpunan solidarti Justice for Zara mendapat sambutan ramai.
Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan turut hadir bagi memberikan sokongan.
Selain Lahad Datu, Semporna dan Tawau turut mengadakan himpunan yang sama pada malam Jumaat.
Himpunan di perkarangan Pejabat Persatuan Bekas Polis Lahad Datu itu dihadiri kira-kira 1,500 orang.
Program anjuran NGO Borneo Eyes Of People dengan kerjasama pengamal media sosial tempatan seperti Lahad Datu Info dan Lahad Datu Update itu menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk pemimpin NGO, sukarelawan, penduduk setempat serta wakil belia.
Perhimpunan solidariti serupa turut diadakan secara serentak di Tawau, Sandakan dan Semporna, menandakan gelombang kebangkitan masyarakat menuntut keadilan terhadap kes buli yang meragut nyawa pelajar berusia 13 tahun itu.
Antara tokoh tempatan yang hadir di Lahad Datu ialah Hj Ismail Dahan (Pengerusi Persatuan Bekas Polis Cawangan Lahad Datu), Samsuri Baharudin (penganjur program), Muhafani Muhamat (Pentadbir Facebook LDI), Mohd Asri Higmun (Pengurus NGO Takada Ipeak), Syamsuddin Ismail (Pengerusi Pertubuhan Lang Merah), Suryani Umar (Pengerusi Sukarelawan Lahad Datu) dan Ibnu Suhud Abdul Razi (Pengerusi Pertubuhan Keluarga Muchirho Lahad Datu).
Hj Ismail dalam ucapannya memuji semangat masyarakat yang hadir serta berterima kasih kepada pihak polis kerana memberi kebenaran penganjuran.
Beliau menyeru semua pihak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika berlaku kes buli sambil yakin siasatan sedang berjalan.
Golongan belia yang turut serta dalam perhimpunan Itu masing-masing menyuarakan rasa marah dan sedih.
Mereka menuntut agar sipelaku dihukum dan ada yang menyatakan ketakutan untuk menyambung pengajian di Kolej Vokasional bimbang dengan situasi sama berlaku.
Mereka menzahirkan simpati bahawa Zara hanya baru berusia 13 tahun dan belum sempat merasai kehidupan remaja.
Sepanjang perhimpunan, peserta mengangkat pelbagai plakad dan kain rentang dengan mesej seperti “Justice for Zara”, “Stop Bully”, dan “Jangan Lindungi Pembuli” sambil melaungkan “Lahad Datu Bangkit” dan “Allahuakbar” sebagai tanda semangat perjuangan.
Perhimpunan berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini dan menjadi simbol kebangkitan suara rakyat di empat daerah menuntut tindakan tegas demi keselamatan anak-anak di sekolah.
TAMAT
