ICL SEDIA PERKHIDMATAN KARDIOLOGI PERTAMA DI PANTAI TIMUR SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

TAWAU: 14 Ogos- Pengoperasian Invasive Cardiac Laboratory (ICL) Hospital Tawau dijangka memberikan manfaat besar kepada pesakit jantung di Pantai Timur Sabah.

Ianya berupaya membolehkan rawatan lebih pantas dan berkesan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ICL itu bakal menjadi pusat rujukan pertama di kawasan tersebut memandangkan tiada perkhidmatan kardiologi sebelum ini.

“Ini adalah yang pertama. Kita telah mengenal pasti lokasi, infrastruktur, dan tender akan dikeluarkan dalam masa satu hingga dua bulan. ICL akan menawarkan rawatan jantung termasuk angiogram, angioplasti dan prosedur berkaitan dengan sasaran masa yang jauh lebih cepat,” katanya kepada media selepas lawatan kerja di Hospital Tawau, pada Khamis.

Beliau menambah, sebelum ini pesakit serangan jantung dan penyakit jantung kritikal di Pantai Timur Sabah perlu dirujuk ke pusat rawatan jauh seperti Kota Kinabalu, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi akibat kelewatan rawatan.

“Prosedur jantung akan dijalankan dalam tempoh kurang 90 minit selepas pesakit tiba, seperti disyorkan piawaian antarabangsa,” katanya.

Pada lawatan sama, Dr Dzulkefly merasmikan Farmasi Pandu Ambil (Pharmacy Park and Take) yang memendekkan masa pengambilan ubat sekaligus meningkatkan produktiviti pesakit dan penjaga.

“Komitmen kami adalah memastikan kebajikan pesakit terjaga dengan mengurangkan masa menunggu, khususnya warga emas, supaya mereka tidak perlu beratur lama. Dengan temujanji teratur, mereka boleh terus mendapatkan preskripsi dan ubat-ubatan dalam beberapa minit sahaja,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif ini memanfaatkan konsep ‘drive-through’ untuk pengambilan ubat, sesuai bagi pesakit kronik yang datang secara berkala, membuat tempahan awal dan hadir di laluan khas bagi pengambilan ubat.

TAMAT

Share This Article