KOTA KINABALU, 16 SEPT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah terus memperkukuh pemantauan keselamatan kebakaran bangunan menerusi pemeriksaan dan kerjasama bersama pihak pengurusan serta pihak berkepentingan.
Pengarah JBPM Negeri Sabah, YS PKPjB Mohd Pisar bin Aziz bersama pegawai kanan JBPM menghadiri Taklimat dan Lawatan Pemeriksaan Premis di Menara Tun Mustapha,pada selasa.
Program dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan sebelum diteruskan dengan pemeriksaan serta tinjauan tapak di Menara Tun Mustapha.
Pemeriksaan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kecemasan pembaikan dan penaiktarafan sistem keselamatan kebakaran termasuk status kemajuan kerja, aspek teknikal serta keperluan penambahbaikan.
JBPM turut menilai keberkesanan langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan kebakaran bangunan memenuhi keperluan yang ditetapkan.
Turut hadir Datuk Seri Ghulam Khan, Pengarah Yayasan Sabah, dan Datuk Jasnih Daya, Pengerusi Innoprise Corporation.
JBPM Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda terus menjadi keutamaan khususnya membabitkan bangunan serta premis berkepentingan awam.
Kerjasama berterusan antara JBPM, pihak pengurusan dan pemilik premis penting bagi memastikan aspek pembaikan, pematuhan dan penambahbaikan keselamatan kebakaran dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
