BATU SAPI, 4 Mac 2026 – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan tampil menghulurkan bantuan segera kepada enam ketua keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Bukit Nanas, Karamunting, awal pagi tadi.
Bantuan berupa kit makanan asas disampaikan kepada mangsa sebagai langkah awal meringankan beban mereka sementara menunggu penempatan dan bantuan susulan daripada agensi berkaitan.
Turut bersama dalam operasi kebajikan itu ialah wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyampaikan sumbangan tambahan kepada keluarga terlibat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt. (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya sentiasa bersedia menggerakkan bantuan kemanusiaan sejurus menerima maklumat kejadian bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.
“APM komited membantu komuniti setempat dalam situasi kecemasan. Kami berharap semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi penyerahan bantuan.
Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar meningkatkan langkah keselamatan kebakaran, khususnya ketika cuaca panas dan penggunaan peralatan elektrik yang kerap pada waktu awal pagi sepanjang Ramadan. Katanya, sikap lebih berhati-hati mampu mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan serius dilaporkan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
TAMAT
