SANDAKAN, 31 Oktober – Lebih 300 peserta menyertai program Fun Run Pinkoktober 2026 yang berlangsung meriah di perkarangan Dewan Masyarakat Sandakan, pagi tadi, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser payudara.
Larian santai sejauh lima kilometer (5KM) yang bermula pada jam 7.30 pagi itu membawa tema “Together For A Healthier Tomorrow” atau “Bersama Meningkatkan Kesedaran Kanser Payudara”, dengan slogan “Sihat Wanita, Kuat Keluarga, Sejahtera”.
Program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, selain menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta pengesanan awal kanser payudara.
Pelepasan peserta disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.51 Sungai Manila merangkap Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa, yang turut diiringi isterinya, Datin Merdiline Hj. Albaris.
Turut hadir ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson; Ketua Pemuda PGRS Libaran, Adinda Wafi Kassim; Ketua Beliawanis PGRS Libaran, Adinda Ni Matul Najibah serta Naib Ketua Bahagian PGRS Libaran, Datuk Amirshah Yaakub.
Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama strategik pelbagai pihak, antaranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Sawit Agro Technology, HMM, Real Serang, Hyoria dan Sabah Headlines.
Rata – rata peserta mahu program seumpama itu diharap dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan wanita demi kesejahteraan keluarga dan komuniti.
