TAWAU, 6 MEI- Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memaklumkan pihaknya menerima serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau berkaitan rampasan diesel yang disyaki diseleweng.
Rampasan kira-kira jam 7.30 malam itu melibatkan 1,350 liter diesel yang ditemui dalam sebuah lori jenis Isuzu lapan tan lengkap dengan tangki tambahan yang diubah suai. Turut disita ialah beberapa peralatan termasuk tong dram besi, hos minyak dan mesin pam dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM104,256.25.
Menurut kenyataan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan.
KPDN memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan. Kesalahan di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan meningkat sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya selain hukuman penjara.
Tegasnya, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan serta memastikan tindakan undang-undang diambil tanpa kompromi terhadap pihak yang terlibat.
