BEAUFORT, 31 Oktober – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman merasmikan Festival Bagandang Beaufort 2026 di Dataran Bagandang, Pekan Beaufort, hari ini.
Festival itu kembali dianjurkan selepas terhenti selama 10 tahun sekali gus menghidupkan semula acara berkenaan sebagai platform mempromosikan kebudayaan tempatan serta merancakkan sektor pelancongan di daerah ini.
Festival Bagandang merupakan cetusan idea Tun Musa ketika beliau menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Sabah dengan hasrat setiap daerah mempunyai acara tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
Berlangsung sehingga ahad festival itu turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk persembahan khas penyanyi legenda tanah air Datuk Ramli Sarip.
Penganjuran semula festival berkenaan diharap dapat mengembalikan kemeriahan nya di samping memperkukuh identiti budaya tempatan serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam serta Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.
