TENOM, 1 Feb – Proses rundingan dan bayaran pampasan melibatkan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terkesan dengan pelaksanaan projek tebatan banjir di daerah ini akan diberi keutamaan untuk diselesaikan dengan lebih segera.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan kebajikan pihak pengurusan gereja serta penganutnya tidak terjejas sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan gereja yang berada dalam jajaran pembinaan benteng tebatan banjir di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurut Jamawi, setakat ini pihak gereja masih belum menerima pampasan, selain berpandangan nilai yang ditawarkan hasil penilaian jurunilai kerajaan belum memenuhi jangkaan.
“Pihak gereja telah melantik jurunilai swasta dan diharapkan laporan penilaian tersebut dapat dikemukakan segera bagi membolehkan rundingan harga dimuktamadkan,” katanya.
Beliau menegaskan, penyelesaian pampasan amat diperlukan bagi membolehkan pihak gereja merancang pemindahan serta mendapatkan tapak baharu untuk pembinaan rumah ibadat yang lebih sesuai.
Mengulas cadangan mengekalkan tapak sedia ada, Jamawi menjelaskan kawasan berkenaan telah diwartakan bagi projek tebatan banjir sejak 2022 dan sebarang perubahan pewartaan memerlukan proses panjang serta kelulusan Dewan Undangan Negeri.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan terbaik ketika ini adalah memastikan kadar pampasan yang ditawarkan bersesuaian dengan nilai semasa demi kepentingan semua pihak.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan awam dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat dan institusi keagamaan.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Jurutera Daerah JPS Tenom, Tua Lahaman; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Tuan Denesly Justin serta wakil kepimpinan Gereja Kalvari Karismatik Tenom.
