SABAH MEMBENTUK MALAYSIA, KITA BERSAMA TENTUKAN MASA DEPANNYA – SALLEH

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,16 SEPT – Sabah bukan sekadar mempunyai sejarah dalam pembentukan Malaysia malah perlu terus memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara demi kepentingan generasi akan datang, kata Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak.

Mantan Ketua Menteri Sabah itu berkata, sambutan Hari Malaysia wajar dijadikan ruang untuk bukan sahaja mengenang sejarah pembentukan Malaysia pada 1963 tetapi turut memikirkan masa depan yang mahu dibina secara bersama.

Menurutnya, Sabah memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia dan semangat itu perlu diteruskan dengan mempertahankan perkara yang telah dipersetujui, di samping bersama-sama menentukan hala tuju negara.

“Bagi Sabah MA63, hak perlembagaan dan autonomi kita tetap penting. Mempertahankan perkara ini bukan bermaksud menjauhkan Sabah daripada Malaysia.

“Sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha membina sebuah Persekutuan yang lebih matang, adil dan saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Malaysia.

Salleh berkata, hubungan Sabah dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya terus dilihat berdasarkan persoalan masa lalu semata-mata sebaliknya perlu bergerak kepada persoalan mengenai perkara yang boleh dibina bersama.

Katanya, Sabah memerlukan pembangunan yang lebih menyeluruh termasuk peningkatan dalam sektor pendidikan dan kesihatan, infrastruktur serta kemudahan asas yang lebih baik, ekonomi yang kukuh dan peluang lebih luas kepada golongan muda untuk membina masa depan di negeri sendiri.

Pada masa sama katanya, Sabah mempunyai banyak sumbangan yang boleh diberikan kepada masa depan Malaysia termasuk sumber negeri, kedudukan strategik di Borneo, kekayaan budaya dan biodiversiti serta bakat, idea dan tenaga generasi baharu.

“Sebab itu hubungan Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu bergerak sebagai satu perkongsian.

“Bukan Sabah lawan Persekutuan. Bukan Timur lawan Barat. Tetapi rakan yang memahami tanggungjawab masing-masing dan bersedia bekerjasama untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan Malaysia turut bergantung kepada kekuatan Sabah dan Sarawak manakala Sabah juga mendapat manfaat daripada sebuah Malaysia yang stabil, makmur dan berjaya.

“Kepentingan kita tidak perlu dilihat sebagai sesuatu yang saling bercanggah,” katanya.

Salleh berkata, generasi terdahulu telah memainkan peranan masing-masing dalam membentuk Malaysia manakala generasi kini mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama menentukan masa depannya menerusi lebih banyak kerjasama, peluang dan keberanian mencari penyelesaian terhadap cabaran bersama.

“Kita boleh berbeza pandangan tentang banyak perkara. Tetapi masa depan Malaysia tetap perlu kita tentukan dan bina bersama.

“Sabah membentuk Malaysia. Kita bersama menentukan masa depannya,” katanya.

Share This Article