10,000 BANJIRI KENDURI RAKYAT BELLA ASTILLAH DAN SYED SADDIQ DI SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 31 Oktober – Kira-kira 10,000 orang membanjiri Padang Merdeka, Kota Kinabalu hari ini bagi memeriahkan Kenduri Rakyat pasangan selebriti Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali gus mencetuskan suasana luar biasa apabila orang ramai sanggup beratur seawal jam 8 pagi.

Sambutan hangat itu bukan sahaja menarik kehadiran peminat dan penduduk setempat malah turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila siaran langsung majlis menerusi TikTok mencatatkan lebih 100,000 penonton dengan lebih 60 juta tanda suka (like).

Kemeriahan majlis turut diserikan dengan kehadiran pengunjung yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik di Sabah sekali gus menonjolkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat negeri ini.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, tetamu sememangnya digalakkan mengenakan pakaian tradisional namun perkara itu bukan satu kewajipan.

Menurutnya, perkara paling penting adalah keselesaan tetamu untuk bersama-sama meraikan hari bahagia mereka dalam suasana penuh kegembiraan bersama masyarakat Sabah.

Beliau turut berkongsi bahawa ahli keluarganya sendiri mengenakan busana tradisional Kadayan, Kadazan dan Bajau Samah sebagai tanda penghargaan terhadap warisan budaya negeri kelahirannya.

Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya dilihat menjadi latar istimewa bagi penganjuran Kenduri Rakyat itu yang bukan sahaja meraikan pasangan berkenaan malah turut mengetengahkan keunikan identiti masyarakat negeri ini.

Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq melangsungkan akad nikah pada 10 Oktober di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur sebelum mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober.

Pasangan itu kemudian meneruskan sambutan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum membawa kemeriahan majlis ke Sabah.

Bagi Bella yang berasal dari Sandakan, penganjuran Kenduri Rakyat di negeri kelahirannya itu pastinya membawa makna tersendiri apabila dapat berkongsi detik istimewa bersama masyarakat Sabah dalam suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan.

Share This Article