28 KELUARGA MANGSA KEBAKARAN PULAU NUNUYAN DICADANG DAPAT TAPAK PENEMPATAN BAHARU

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN,22 OGOS – Mangsa kebakaran di Pulau Nunuyan bakal mendapat sinar baharu apabila satu kawasan tanah kosong di pulau berkenaan dikenal pasti sebagai cadangan tapak penempatan baharu.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, usaha mendapatkan tapak berkenaan sedang digerakkan selepas pemilik tanah di penempatan lama tidak membenarkan rumah dibina semula di kawasan terbabit.

Menurutnya, urusan mendapatkan tapak baharu itu akan diusahakan dalam tempoh sebulan sebelum permohonan peruntukan pembinaan rumah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kita akan usahakan tapak baharu ini dalam tempoh sebulan dan selepas itu kita akan kemukakan permohonan peruntukan bagi pembinaan rumah kepada kementerian berkaitan.

“Kita berharap usaha ini dapat membantu mangsa mendapatkan penempatan yang lebih selamat dan sesuai selepas kehilangan kediaman dalam kejadian kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Nunuyan, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu, sebanyak 28 rumah musnah dalam kebakaran yang dipercayai merebak dengan pantas susulan tiupan angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.

Penduduk ketika itu hanya bergantung kepada sebuah pam air yang terdapat di kampung berkenaan bagi membasahkan bumbung dan dinding rumah yang masih belum dijilat api dalam usaha menghalang api daripada terus merebak.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhaimi turut mencadangkan supaya pasukan bomba sukarela diwujudkan di setiap kampung khususnya di kawasan pulau bagi membolehkan penduduk mengambil tindakan awal sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

Katanya, inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sudah dimulakan di Kampung Tinusa Sandakan, bulan lalu.

Menurutnya, menerusi inisiatif berkenaan penduduk diberikan latihan dan persediaan asas bagi membolehkan mereka bertindak dalam tempoh 10 hingga 20 minit pertama sebelum pasukan bomba tiba terutama di kawasan yang hanya boleh diakses melalui jalan laut.

“Sebenarnya pihak di bawah KPKT telah merancang supaya setiap kampung ada pasukan sukarela yang diwujudkan oleh bomba itu sendiri.

“Bulan lalu saya bersama-sama agensi bomba di Tinusa untuk melantik dan mempersiapkan orang kampung sebagai sukarelawan untuk berhadapan dalam tempoh 10 minit atau 20 minit sebelum bomba tiba,” katanya.

Suhaimi berharap cadangan penempatan baharu serta usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti itu dapat memberi perlindungan lebih baik kepada penduduk Pulau Nunuyan selain mengurangkan risiko kemusnahan besar sekiranya berlaku kejadian kecemasan pada masa hadapan.

Share This Article