KOTA KINABALU, 6 APRIL – Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud menegaskan bekalan beras di Sabah masih mencukupi dan meminta orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik susulan kebimbangan kekurangan stok di pasaran.
Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, beliau berkata kegusaran yang timbul dalam kalangan penduduk Sepanggar kebelakangan ini berhubung kekurangan bekalan di beberapa pasar raya berantai adalah difahami namun situasi sebenar masih terkawal.
Menurutnya, penjelasan telah diperoleh daripada pihak BERNAS Sabah serta wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung status semasa bekalan beras di negeri ini.
“Pemantauan termasuk lawatan ke gudang penyimpanan mendapati stok beras mencukupi, bukan sahaja di sekitar Kota Kinabalu tetapi juga di seluruh Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan peningkatan trend pembelian dalam kalangan pengguna telah menyebabkan sesetengah pasar raya dan kedai runcit berantai kehabisan stok lebih cepat daripada kebiasaan.
Dalam masa sama, katanya, bekalan beras di pasar tradisional serta kedai runcit kecil masih berada pada tahap mencukupi.
Sehubungan itu, Mustapha menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sentimen kekurangan bekalan, sebaliknya mengamalkan pembelian secara berhemah dan mengikut keperluan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara melalui pemantauan bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Langkah berterusan itu, katanya penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global serta krisis tenaga dunia.
