KOTA MARUDU, 31 Disember – Sebuah rumah separuh kekal dua tingkat musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Marak Parak, Kampung Tangkol, di sini lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.44 malam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Jakri bin Bahar, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 11.09 malam dan mendapati sebuah rumah berkeluasan kira-kira 40 x 60 kaki terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang disalurkan daripada tangki jentera,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.40 malam namun kerja-kerja pemadaman bara api masih diteruskan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Operasi pemadaman melibatkan tujuh anggota BBP Kota Marudu dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah tanker.
Maklumat lanjut mengenai kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
TAMAT
