MARITIM MALAYSIA MEDEVAC PEKERJA RESORT CEDERA DI PULAU TUBING

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 14 OGOS – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan seorang pekerja resort warga China yang cedera selepas terjatuh di Pulau Tubing, Semporna, hari ini.

Mangsa yang disyaki mengalami kecederaan patah tulang segera dipindahkan menerusi operasi Medical Evacuation (MEDEVAC) untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital.

Menurut Maritim Malaysia, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat berhubung kejadian sebelum menyalurkannya kepada Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, Zon Maritim Semporna menggerakkan aset bagi melaksanakan operasi pemindahan perubatan terhadap mangsa yang bekerja di sebuah resort di Pulau Tubing.

Mangsa yang mengalami kecederaan selepas terjatuh memerlukan pemindahan segera bagi mendapatkan rawatan perubatan, dengan aspek keselamatan mangsa diberi keutamaan sepanjang operasi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali, berkata tindakan pantas agensi dalam mengendalikan kes kecemasan perubatan di kawasan pulau dan perairan adalah sebahagian daripada komitmen memastikan keselamatan serta kebajikan komuniti maritim sentiasa diberi keutamaan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersedia menggerakkan aset dan anggota bagi memberikan bantuan kecemasan kepada individu yang memerlukan, khususnya di kawasan pulau dan perairan yang berdepan cabaran dari segi akses kepada kemudahan perubatan.

Katanya, kerjasama serta penyampaian maklumat pantas daripada pihak berkaitan amat penting bagi memastikan tindakan dapat diambil segera dan mangsa memperoleh rawatan yang diperlukan tanpa kelewatan.

Maritim Malaysia turut menegaskan bahawa keselamatan nyawa sentiasa menjadi keutamaan dan agensi akan terus memastikan kesiapsiagaan aset serta anggota berada pada tahap terbaik dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan, mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan di perairan negara.

Share This Article