KEMAHIRAN URUTAN TERAPI MAMPU JANA PENDAPATAN WANITA SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 14 OGOS – Kemahiran urutan terapi yang diperoleh menerusi kursus kemahiran diharap bukan sekadar menjadi ilmu tambahan sebaliknya dapat dimanfaatkan wanita untuk meningkatkan taraf ekonomi serta menjana pendapatan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata kemahiran yang diperoleh perlu terus diamalkan selepas peserta menamatkan kursus, selain digunakan bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti, beretika dan profesional kepada masyarakat.

Menurutnya, penguasaan kemahiran berkenaan juga penting dalam membantu peserta memperkukuh bidang yang diceburi serta mengembangkan usaha masing-masing.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Elopura, Chin Su Ping ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Urutan Terapi kawasan Elopura di bawah bantuan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) di The Elopura Hotel, di sini, hari ini.

Seramai 20 peserta wanita menyertai kursus selama lima hari itu yang dikendalikan Pusat Terapi Tradisional Mas.

Vivian turut menyambut baik usaha JPSM bersama pengendali program kerana memberi peluang kepada lebih ramai wanita mendapatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada tenaga pengajar untuk mengembangkan lagi usaha masing-masing dan menambah pendapatan di samping sentiasa mengutamakan etika dalam memberikan perkhidmatan.

Sementara itu peserta kursus merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan khususnya kerana mereka kini mempunyai pengetahuan dan asas dalam bidang urutan terapi berbanding sebelum menyertai kursus berkenaan.

Turut hadir, Pemaju Mukim Elopura, Monelizah Mohd Tahir; pemilik Pusat Terapi Tradisional Mas, Maslina Mohd Juinto serta wakil JPSM.

Share This Article