DUN SABAH:PENGALIHAN UTILITI, ISU TANAH ANTARA PUNCA KELEWATAN PAN BORNEO SABAH

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU, 20 JULAI – Isu pengalihan utiliti termasuk pemindahan tiang elektrik, kabel telekomunikasi dan aset berkaitan dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, proses pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ir Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di sini, hari ini.

Menurut Joachim, kerja pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset sebaliknya merangkumi pengesahan kedudukan utiliti sedia ada, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti serta penyelarasan bersama pemilik utiliti.

“Utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan kerana faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan terhadap infrastruktur berkaitan.

“Proses ini memerlukan koordinasi rapi antara semua pihak bagi memastikan kerja pengalihan dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, selain isu utiliti, kelewatan projek itu turut dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk proses pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor mengikut pakej pembinaan masing-masing.

Katanya, kerajaan negeri bersama pihak berkaitan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo serta mengadakan mesyuarat berkala di peringkat tapak bagi menyelesaikan isu yang timbul.

“Isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi membabitkan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta kementerian saya bagi mempercepatkan penyelesaian,” katanya.

Joachim berkata, pengalaman daripada pelaksanaan projek itu turut menjadi panduan untuk memastikan projek infrastruktur pada masa hadapan diberi perhatian terhadap kerja awalan seperti penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum kerja pembinaan dimulakan.

“Pendekatan ini membolehkan isu pelaksanaan dikenal pasti lebih awal sekali gus mengurangkan risiko kelewatan ketika fasa pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Joachim memaklumkan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata di Tawau kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 12.21 peratus setakat Jun lalu.

Menurutnya, projek yang bermula pada 22 Julai 2025 itu dijangka siap pada Julai 2028 dengan kapasiti tambahan 30 juta liter sehari (JLH) bagi meningkatkan bekalan air terawat di Tawau dan kawasan sekitarnya.

Projek berkenaan turut melibatkan pembinaan loji baharu, muka sauk, rumah pam, tangki imbangan serta pemasangan paip penghantaran dan agihan.

Dalam perkembangan berkaitan bekalan elektrik di Semporna, beliau berkata Sabah Electricity sedang melaksanakan projek menaik taraf Pencawang Masuk Utama (PMU) Semporna menerusi pembinaan PMU baharu 132/33/11kV berkapasiti 2 × 45/60MVA dengan kos RM74.12 juta.

Katanya, projek itu dijangka siap pada Oktober 2027 manakala sebuah Pencawang Pembahagian Utama (PPU) baharu bernilai kira-kira RM45 juta turut dirancang dan dijangka siap pada 2029.

“Apabila kedua-dua projek ini siap, kapasiti serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Semporna akan dipertingkatkan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan dan menyokong pembangunan sektor pelancongan, pelaburan, perumahan serta ekonomi daerah itu,” katanya.

Share This Article