REMAJA LELAKI MAUT LEMAS DI SUNGAI SOOK

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

SOOK, 4 Sept – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia selepas lemas di sebuah sungai berhampiran Kampung Delayan, Sook malam tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 8.41 malam.

“Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Pajero dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Setibanya di lokasi pada jam 8.53 malam, pihak bomba dimaklumkan bahawa mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam daripada sungai berkenaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK II Shellverinus Julius, dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.55 malam.

TAMAT

Share This Article