SANDAKAN, 7 OGOS – Seramai 14 wakil diplomatik dan delegasi antarabangsa diberi peluang meninjau sendiri tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) menerusi Program Lawatan Keselamatan dan Sesi Libat Urus Bersama Delegasi Antarabangsa sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap situasi keselamatan serta potensi pelancongan di pantai timur Sabah.
Program selama dua hari itu turut disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai platform memberi gambaran menyeluruh mengenai perkembangan keselamatan semasa di ESSZONE selain mempromosikan keunikan destinasi pelancongan di kawasan berkenaan.
Sepanjang lawatan, delegasi dibawa melawat beberapa lokasi ikonik di Sandakan termasuk Pulau Bakungan Kecil, Pulau Selingan, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok serta Rumah Agnes Keith.
Rombongan turut menghadiri majlis makan malam dan sesi dialog bersama Menteri Dalam Negeri serta pegawai-pegawai keselamatan bagi mendapatkan taklimat mengenai situasi keselamatan semasa, langkah penguatkuasaan dan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan ESSZONE kekal selamat.
Saifuddin berkata, program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada wakil-wakil asing melihat sendiri keadaan sebenar di ESSZONE agar mereka dapat menyampaikan maklumat yang tepat, berfakta dan seimbang kepada kerajaan masing-masing.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi membolehkan negara-negara yang masih mengekalkan nasihat perjalanan susulan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 menilai semula pendirian mereka berdasarkan perkembangan keselamatan semasa yang jauh lebih baik.
Katanya, keadaan keselamatan di ESSZONE kini berada pada tahap yang terkawal hasil kerjasama erat antara agensi keselamatan, selain pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh kawalan di kawasan pantai timur Sabah.
Beliau berkata, selain aspek keselamatan, lawatan itu turut memberi pendedahan kepada delegasi mengenai potensi besar sektor pelancongan di pantai timur Sabah yang menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, hidupan liar dan warisan sejarah.
Program berkenaan diharap dapat meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat sekali gus menyokong usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong asing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Sumber Kredit:Dakwat Rakyat Post
