Kassim menerima kemasukan ahli baharu yang menyertai Gagasan Rakyat Sungai Sibuga sambil disaksikan oleh ketua bahagian itu.
sh@ Aleeya Villiamon
SANDAKAN (22 JUN): Perjuangan kepimpinan negeri wajar dihargai dan disokong sepenuh hati dan bukan sekadar dengan kata-kata.
“Perjuangan terdahulu mungkin tidak kelihatan, tetapi hari ini kita dapat berhimpun dalam keadaan aman – itu satu nikmat yang perlu disyukuri. Kita tidak boleh kufur nikmat,” kata Setiausaha Eksekutif Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Haji Abdul Kassim Haji Razali ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah bahagian Sungai Sibuga di sini hari ini.
Turut sama Ketua Bahagian itu, Datuk Amirshah Yaakob
Katanya, rakyat perlu sentiasa bersyukur dengan keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini.
Beliau turut memuji semangat perjuangan dan kebangkitan yang ditunjukkan oleh jentera parti di kawasan Sungai Sibuga, yang berjaya menyatukan masyarakat serta menggerakkan gelombang sokongan yang memberangsangkan menjelang PRN.
“Di Sungai Sibuga, kita ada Ketua Bahagian yang mampu menyatukan rakyat. Gelombang rakyat penuh dalam dewan – ini petanda kebangkitan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan agar tiada mana-mana pihak dalam parti yang berasa terlalu selesa menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
“Pilihan raya bukan soal suka-suka atau medan mencari rezeki. Kalau kita kalah, menangis darah pun tidak akan dapat hak kita semula,” tegas beliau.
Abdul Kassim turut menegaskan bahawa rakyat Sabah kini memerlukan satu keazaman baharu, bukan janji-janji lama atau ‘perjanjian baharu’ yang tidak menguntungkan negeri.
“Sabah perlukan semangat baharu. Kerajaan perlu ditunjangi kepimpinan lokal, bukan dikaburi janji fitnah. Ini masa untuk bangkit dan pertahankan hak rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran 17 kerusi PRN yang bakal dipertandingkan, dengan tekad dan kesatuan yang tidak berbelah bahagi.
TAMAT
