KOTA KINABALU, 7 OGOS – Suasana di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bertukar cemas apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 merempuh pintu masuk balai pelepasan dalam kejadian yang berlaku petang Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu dipercayai berlaku selepas pemandu wanita berusia lingkungan 60-an secara tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika berada di kawasan berkenaan untuk menghantar anaknya yang akan menaiki pesawat.
Akibat rempuhan itu, pintu kaca balai pelepasan pecah namun tiada orang awam dilaporkan cedera walaupun ketika kejadian kawasan tersebut dipenuhi orang ramai.
Pemandu terbabit hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden berlaku di tingkat tiga bahagian balai pelepasan KKIA.
“Kejadian baru berlaku di lapangan terbang di tingkat tiga bahagian atas melibatkan kenderaan X70 yang dipandu seorang wanita yang tertekan pedal minyak.
“Tiada kecederaan melibatkan orang awam, hanya pemandu mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala laporan penuh akan dikeluarkan kemudian.
Tinjauan di lokasi mendapati kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan orang awam apabila kenderaan berkenaan meluru ke arah ruang berhampiran kaunter daftar masuk.
Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal dengan pantas oleh pihak berkuasa yang segera berada di lokasi selain memastikan keselamatan orang ramai. Kredit Sumber-Sinar Harian
