KOTA KINABALU, 3 OGOS – Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memacu kecemerlangan pendidikan serta melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri kekal komited meningkatkan prasarana pendidikan dan kebajikan warga sekolah di seluruh Sabah kerana pendidikan merupakan pemangkin utama kemajuan negeri.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, sempena Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Labuan Ke-50 di Hotel Klagan Regency, 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 hingga 2025 bagi meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga serta memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada peluang melanjutkan pendidikan akibat kekangan kewangan.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) atas kejayaan menganjurkan persidangan berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkasa kepimpinan pendidikan selaras dengan perubahan landskap pendidikan semasa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pengetua dan guru atas kejayaan meningkatkan prestasi akademik negeri, termasuk pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2025 daripada angka lima kepada empat serta keputusan STPM 2025 yang merekodkan GPN 4.85, iaitu pencapaian terbaik Sabah setakat ini.
Mengulas tema persidangan, “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035”, beliau berkata para pengetua bukan sekadar pentadbir sekolah malah arkitek utama dalam membentuk masa depan pendidikan negara melalui pemerkasaan inovasi digital, pembinaan jati diri murid dan pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
Katanya, RPM 2026–2035 menjadi kompas strategik negara untuk memperkukuh sistem pendidikan agar kekal relevan, inklusif, berdaya saing serta berpaksikan nilai kemanusiaan dalam menghadapi cabaran masa depan.
