LAHAD DATU, 3 OGOS – Komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan negara turut disertai nilai kemanusiaan terus diperkukuh apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Program MOSTI CARE 2026 di Hospital Daerah Lahad Datu hari ini.
Program berteraskan kerja sosial komuniti itu menjadi platform menyantuni petugas kesihatan dan pesakit sekali gus memperlihatkan bahawa kemajuan sains, teknologi dan inovasi turut membawa manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Program tersebut merupakan inisiatif keterangkuman komuniti yang bertujuan merapatkan hubungan antara kementerian dengan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
Ia turut menjadi wadah menghargai pengorbanan warga kesihatan termasuk doktor pakar, jururawat dan anggota sokongan yang menjadi tulang belakang perkhidmatan kesihatan di daerah itu.
Selain menghargai petugas kesihatan, program itu turut diserikan dengan aktiviti Kunjungan Kasih ke wad-wad hospital bagi menyampaikan sokongan moral serta sumbangan kebajikan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan.
Inisiatif tersebut diharap dapat meringankan beban mereka di samping menyemarakkan semangat kebersamaan antara kerajaan dan rakyat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu serta ADUN Silam menegaskan, peranan MOSTI kini tidak lagi terhad kepada aspek teknikal dan komersial semata-mata sebaliknya turut menumpukan usaha memastikan sains, teknologi dan inovasi diterjemahkan dalam bentuk yang inklusif, mesra rakyat dan memberi impak kepada kesejahteraan komuniti khususnya di Pantai Timur Sabah.
Beliau berkata, melalui MOSTI CARE 2026, kementerian turut berhasrat memperkukuh jalinan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi pelaksanaan program komuniti dan perkongsian kepakaran yang saling melengkapi.
Pendekatan holistik itu diyakini mampu memperluaskan manfaat pembangunan negara serta memastikan kemudahan sokongan sosial dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa ada pihak yang tercicir.
