Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 25 Sept – Sebuah lori yang membawa muatan minyak sawit mentah terbalik di laluan bulatan Pan Borneo jalan Sandakan pagi tadi.
Lori tangki 34 tan itu dikatakan terbabas sebelum terbalik di tempat kejadian.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera LFRT dan EMRS digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba bertindak mencabut kepala bateri lori bagi mengelakkan percikan api selain menghubungi pihak polis dan kontraktor Pan Borneo kawasan Sepagaya untuk tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, seorang anggota polis trafik dan lapan kontraktor Pan Borneo turut berada di lokasi untuk membantu.
“Pihak kontraktor kemudiannya mengambil alih kerja-kerja pembersihan jalan menggunakan pasir sementara syarikat Hup Seng dimaklumkan masih menunggu pam khas bagi menyedut minyak sawit yang tumpah,” jelasnya.
Operasi diketuai PBK II (TBBK I) Ag. Hazizan Hashim itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi setelah keadaan disahkan selamat.
TAMAT
