KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh agenda pendigitalan negeri melalui lawatan kerja Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib ke Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara TRX 106, di sini, hari ini.
Lawatan itu bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik bagi memperluaskan capaian rangkaian 5G di Sabah, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem pendidikan, inovasi serta industri teknologi yang lebih progresif.
Menurut James, capaian data yang lebih pantas dan stabil menerusi teknologi 5G diyakini mampu membuka ruang lebih luas kepada pelajar dan masyarakat untuk mengakses pembelajaran digital, memperkasa kreativiti serta meneroka peluang baharu dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau berkata, usaha memperluaskan penggunaan 5G secara menyeluruh penting bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus transformasi teknologi seiring keperluan peranti dan aplikasi moden yang semakin bergantung kepada rangkaian berkelajuan tinggi.
Sesi perbincangan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Korporat DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid.
Kerajaan negeri, katanya, komited memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati rakyat Sabah secara inklusif dan berterusan.
TAMAT
