KM SERAH BANTUAN YKS RM30,600 KEPADA 102 KIR MANGSA BANJIR TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,3 OGOS-Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyalurkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjumlah RM30,600 kepada 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di daerah Tawau, baru-baru ini.

Bantuan berjumlah RM300 bagi setiap KIR itu disampaikan bagi pihak Ketua Menteri oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian tersebut.

Antara agensi yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi dan ahli jawatankuasa berkaitan.

Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana tersebut.

Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 362 mangsa terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi.

Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.

Share This Article