PAPAR-20 Dis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember bersempena sambutan Krismas pada 25 Disember ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata skim itu melibatkan 14 jenis barangan keperluan yang dikawal harga bagi memastikan pengguna menikmati harga berpatutan selain mengelakkan peniaga terbeban dengan tempoh kawalan yang terlalu panjang.
Antara barangan terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah , bawang kuning besar, ubi kentang import serta kepak ayam.
Turut dikawal ialah ayam tua hidup di Sarawak serta babi hidup dan daging babi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut beliau penetapan barangan, harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah serta pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak menerusi laman web rasmi KPDN.
TAMAT
