KOTA BELUD, 2 OGOS — Dua wanita cedera selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan dalam satu kemalangan di Kampung Penampang, Kota Belud, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 6.08 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang diketuai Komander Operasi, PBK II Rano Gadol, tiba di lokasi pada jam 6.30 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 20 kilometer.
Menurut Komander Operasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas ke bahu jalan.
Dua mangsa yang sebelum itu dilaporkan tersepit bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mangsa masing-masing seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang lagi wanita berusia 73 tahun mengalami kecederaan.
Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian memberikan rawatan awal di lokasi sebelum membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.14 pagi.
Operasi membabitkan lapan anggota BBP Kota Belud dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS.
