SANDAKAN,1 OGOS- Keprihatinan terhadap nasib golongan yang memerlukan terus menjadi keutamaan apabila Pejabat Ahli Parlimen Sandakan bersama agensi kerajaan mengadakan Lawatan Ziarah Kasih P186 bagi menyampaikan bantuan kebajikan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Batu 4, di sini.
Lawatan prihatin tersebut diketuai oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Sandakan, Asrul Bin Abdul Samat bersama Pegawai Pemimpin Masyarakat (UPPM) Elopura, Henry Hamdan, Pegawai Kebajikan Sandakan, Anshary serta pengurusan dan pasukan Pejabat PERKESO Sandakan.
Ziarah berkenaan bertumpu di kediaman Daniel Bin Abdul Gani, 44, yang mengalami masalah kesihatan sejak tahun 2024 ketika masih bekerja di Semenanjung Malaysia.
Beliau kini telah pulang ke Sandakan dan diuruskan sepenuhnya oleh kakak serta adiknya.
Sementara itu pihak Perkeso telah menyalurkan alat sokongan mobiliti bagi memudahkan pergerakan harian beliau.
Dalam masa sama, Perkeso kini dalam proses menguruskan permohonan bantuan lain yang bersesuaian.
Pejabat Ahli Parlimen Sandakan dan UPPM Elopura turut menyampaikan sumbangan kewangan serta bakul makanan bagi meringankan beban perbelanjaan harian dan kos rawatan keluarga tersebut.
Inisiatif bersama ini mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Ahli Parlimen Sandakan dan pelbagai agensi dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial tanpa mengira latar belakang.
Bantuan yang disalurkan diharapkan dapat memberi sinar kebahagiaan serta meringankan beban yang ditanggung oleh Daniel dan keluarganya.
