TIGA LELAKI CEDERA MYVI BERTEMBUNG TOYOTA HILUX DI KOLOMBONG

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 5 SEPT – Tiga lelaki cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Lorong Iramanis Centre, Kolombong, Inanam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.39 pagi itu, kesemua empat mangsa terbabit termasuk pemandu Toyota Hilux yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana binti Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan.

“Tiga mangsa lelaki yang berada di dalam Perodua Myvi mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

“Kesemua mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II menggunakan EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pemandu Myvi, lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan di muka manakala penumpang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di kepala dan seorang lagi penumpang berusia 38 tahun mengalami kecederaan di tangan.

“Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada jam 4.20 pagi,” katanya.

Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota KKM.

Share This Article