285 PATI WARGA FILIPINA DIPINDAHKAN PULANG MELALUI LAHAD DATU

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 14 MEI- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memindahkan seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal menerusi Pelabuhan Lahad Datu, kelmarin.

Program pemindahan itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan yang dihantar ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Semua tahanan terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak berusia antara lapan bulan hingga 77 tahun yang telah selesai menjalani hukuman serta memiliki dokumen perjalanan sah.

Jabatan itu memaklumkan sehingga kini seramai 1,835 warga Filipina daripada keseluruhan 2,970 tahanan asing sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Dalam pada itu, majikan disaran menyertai Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) bagi memastikan pengurusan pekerja asing lebih teratur serta mengurangkan lambakan PATI di negeri ini.

Jabatan Imigresen turut memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Share This Article