LAHAD DATU, 14 MEI – Empat rumah terbabit dalam kebakaran di Kampung Batu 5 Sepagaya, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan sebahagian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum seramai 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan empat rumah dua tingkat dengan dua daripadanya terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran selain memastikan keadaan selamat sepenuhnya.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
