TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki bertindak agresif dan mengugut ibunya menggunakan sebilah parang di Kampung Vietnam, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki, warga asing yang berusia 30an itu ditahan di hadapan sebuah rumah di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam akibat pertengkaran keluarga.
Menurutnya, suspek dipercayai membawa sebilah parang dan lastik selain merosakkan bahagian dinding rumah, menyebabkan mangsa yang berusia 60-an berasa takut dan tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah menahan suspek kira-kira jam 4.30 petang,” katanya.
Polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
ACP Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya mengawal emosi ketika berdepan konflik keluarga dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian lebih serius.
