TIGA DITAHAN, SYABU DAN KETUM DIRAMPAS DALAM OP TAPIS

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 14 MEI- Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu berjaya menumpaskan tiga kes berkaitan dadah dan ketum menerusi Op Tapis yang dijalankan selama dua hari bermula 12 Mei lalu.

Dalam operasi bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) itu, tiga individu ditahan manakala 5.17 gram syabu serta dua kilogram serbuk ketum dirampas di tiga lokasi berasingan.

Tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berusia lingkungan 20-an selepas kenderaan dipandunya ditahan di lampu isyarat Jalan Pantai. Pemeriksaan menemukan 5.09 gram syabu dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

Keesokan harinya polis menahan sebuah Toyota Hilux di Kilometer 6 Jalan Lahad Datu-Tawau sebelum menemui 2,000 gram serbuk ketum yang disorok dalam kotak makanan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki turut ditahan di belakang bangunan Econsave Jalan Reno Fajar selepas polis menemui 0.08 gram syabu di dalam poket seluarnya. Ujian saringan turut mendapati suspek positif dadah.

Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Share This Article